LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE PERKAMPUNGAN ORANG ASLI CHE WONG, KUALA GANDAH, PAHANG


Pelbagai pengalaman berguna ditimba  oleh 97 orang pelajar kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu (BBK 3305), Universiti Putra Malaysia, ketika Lawatan Sambil Belajar ke Perkampungan Orang Asli Che Wong, Kuala Gandah, Lanchang , Pahang pada 13 Februari yang lalu.

       Lawatan sambil belajar ini adalah anjuran pelajar kursus Kesusasteraan Rakyat Melayu yang terdiri daripada  gabungan pelajar dari Fakulti Pengajian Pendidikan dan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,  dengan mendapat kerjasama daripada Jabatan Orang Asli daerah Temerloh, Pahang. Lawatan ini   bertujuan untuk mengenali budaya dan corak hidup komuniti Orang Asli Che Wong, di Sungai Serting, Kuala Gandah, Lanchang, Pahang,  supaya dapat diaplikasikan dalam pementasan Malam Tradisi Sastera Rakyat ke-26  yang bertajuk “Legenda Tok Kelembai”  yang akan diadakan pada 3 April 2011 akan datang. Malam Tradisi Sastera Rakyat (MTSR) merupakan program tradisi yang akan diadakan setiap tahun oleh Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, sebagai salah satu komponen kursus BBK 3305 Kesusasteraan Rakyat Melayu. Lawatan sambil belajar itu diketuai oleh saudara Muhammad Afzan Ismail  yang merupakan pengerusi jawatankuasa induk MTSR ke-26, dan turut disertai oleh Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Prof. Madya Dr. Che Ibrahim bin Hj. Salleh serta pensyarah dan penasihat kursus Puan Hajah Halimah Hassan. Turut serta dalam lawatan ini ialah Puan Zainatul Shuhaida Ab. Rahman dan Encik Faizal  bin  Zainal Abidin selaku penunjuk ajar pementasan.

Pelajar di Perkampungan Orang Asli Che Wong

         Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang sehari di perkampungan orang asli tersebut ialah mempelajari tarian sewang, membuat kraftangan dan menjahit pakaian Orang Asli Che Wong. Aktiviti ini juga telah  membantu para pelajar menyediakan props dan kostum bagi pementasan yang bakal diadakan.
Peserta program, Ummi Nazifah  Kamarudin, 22, dari Fakulti Pengajian Pendidikan berkata bahawa aktiviti seperti ini telah dapat menyelami dan mempelajari khazanah budaya dan cara hidup masyarakat orang asli yang semakin dilupakan seperti tarian sewang, membuat kraftangan dan banyak lagi yang jarang dapat dipelajari di tempat lain.  Pengalaman yang ditimba akan diaplikasi untuk pementasan Teater Tok Kelembai dan menjadi kenangan sepanjang hayat.

Pelajar dan pensyarah kursus bersama-sama belajar membuat anyaman 

    Pelajar juga berpeluang melawat Pusat Konservasi Gajah yang terletak berhampiran dengan Perkampungan Orang Asli Che Wong tersebut. Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah ini merupakan satu-satunya yang serupa itu di negeri Pahang.

Pelajar berkesempatan melawat Pusat Konservasi Gajah
         Sementara itu, En. Tarak Batin Beok selaku pegawai  di Jabatan Orang Asli Temerloh berkata, beliau sangat berbesar hati menerima kehadiran pelajar-pelajar UPM yang mengadakan lawatan sambil belajar di sini. Beliau berkata masyarakat orang asli di Malaysia kesemuanya ada 15 jenis, dan masyarakat Orang Asli Che Wong merupakan salah satu etnik yang semakin pupus berdasarkan bilangan populasinya yang semakin menurun. Menurut beliau, bilangan Orang Asli Che Wong sekarang tidak sampai 300 orang. Bilangan ini dikhuatiri akan menurun lagi kerana sifat mereka yang sangat pemalu dan sukar bercampur dengan orang di luar komuniti mereka.

        Sebelum pulang, pelajar juga telah memberi sedikit sumbangan berbentuk makanan dan pakaian kepada orang asli di sana. Walaupun lawatan tersebut hanya satu hari, namun pengalaman yang ditimba oleh para pelajar tidak ternilai harganya.

Pelajar BBK 3305, Pn. Aida, Pn. Hjh. Halimah Hassan
serta Orang Asli Che Wong bergambar sebagai kenangan sebelum bertolak pulang ke UPM